Persiapan Aidilfitri Seorang Bapa

Aidilfitri yang disambut pada penghujung Ramadan kini semakin menjelang. Pastinya ramai di antara kita sedang sibuk dengan persiapan menyambut hari yang mulia ini. Seperti biasa, bagi seorang bapa yang bertanggungjawab terhadap keluarga, persiapan untuk menyambut Hari Raya memerlukan sedikit usaha dan perancangan.

Bagi saya, sebagai seorang bapa kepada dua anak perempuan, Aidilfitri adalah antara waktu kegemaran dan juga waktu kebingungan saya sepanjang tahun.

Pertama sekali, sebagai seorang bapa, saya akan memastikan bahawa keluarga saya memiliki baju raya yang mencukupi untuk dikenakan pada Hari Raya. Saya akan cuba membawa keluarga ke kedai pakaian untuk memilih pakaian yang sesuai dan memastikan mereka semua kelihatan cantik dan bergaya pada Hari Raya. Namun, ia tidak semudah itu. Dahulu, pemilihan warna baju digilir-gilir oleh saya dan isteri. Kini dengan anak sulung saya yang semakin berfesyen, dia pun ingin memberi pendapat bukan sahaja dengan warna tetapi juga dengan jenis pakaian. Banyak tempat yang harus kami pergi. Bila ibu dan kakak bersepakat, tidak ada pula saiz baju untuk si adik. Terpaksalah kami beli dulu dan bawa kain itu ke kedai-kedai lain untuk mencari baju yang warnanya hampir-hampir sama. Saya pula sebagai bapa yang “upsized”, pasrahlah dengan membeli kurta sahaja.

Selain itu, kami sekeluarga juga akan membersihkan rumah secara menyeluruh sebelum Hari Raya. Isteri saya akan memastikan bahawa semua bilik, dapur dan kawasan umum dalam rumah kelihatan bersih dan segar. Saya pula akan mengemas dan menyusun perabot dan peralatan rumah supaya rumah kami kelihatan lebih kemas dan teratur. Saya membeli cat untuk dinding-dinding rumah yang sudah pudar. Jangkauan saya ini akan mengambil dua jam sahaja. Namun, ia mengambil satu hari kerana anak saya yang berumur 2 tahun ingin menolong untuk mengecat rumah. Kelebihan masa itu digunakan untuk saya dan anak sulung saya megemas cat yang tumpah dan memujuk si kecil ini untuk tidak mengecat dinding yang berlainan warna. Tapi tidak apalah, yang penting saya dapat meluangkan masa bersama anak-anak.

Penghiasan rumah saya membiarkan isteri saya yang tunaskan kerana citarasa dekorasi Rayanya sangat menarik. Tanggungjawab saya adalah lampu kelap-kelip. Lampu kelap-kelip yang sudah dipasang pada Aidilfitri yang lalu masih sesuai untuk memeriahkan suasana rumah pada Hari Raya. Tapi bila saya cuba menghidupkannya, satu rumah “blackout”. Terpaksalah keluar dan menggantinya dengan yang baru kerana jika ingin beli di internet, ia akan tiba selepas lebaran.

Selain itu, saya juga akan memastikan bahawa semua keperluan dapur dibeli dan mencukupi. Isteri saya akan membuat senarai barang-barang dapur yang diperlukan untuk membuat masakan Hari Raya seperti Rending Daging, Ayam Masak Merah, Sambal Udang dan lain-lain lagi. Saya akan membeli semua bahan-bahan tersebut dalam satu masa untuk mengelakkan kesesakan dan untuk mengurangkan risiko Covid-19.

Sebagai seorang bapa, saya akan memastikan bahawa kereta kami berada dalam keadaan yang baik sebelum Hari Raya. Saya akan menghantar kereta ke pusat servis untuk diservis dan memastikan bahawa ia dalam keadaan baik untuk digunakan semasa Hari Raya. Saya juga akan memeriksa minyak enjin, air paip wiper, bateri dan semua aspek penting lain dalam kereta supaya tidak ada masalah semasa perjalanan ke rumah-rumah sanak saudara pada Hari Raya. Tambahan itu, ini jugalah waktunya untuk membayar cukai jalanraya dan membeli insurans memandu. Terasa juga duit yang dikeluarkan.

Banyak juga persiapan Ayah menjelang raya !

Bagi saya,  persiapan untuk solat Hari Raya Aidilfitri adalah yang paling mudah kerana anak-anak saya keduanya perempuan. Saya akan memakai baju raya beberapa tahun yang lalu sebagai baju solat dan memastikan semua baju tersebut bersih dan siap untuk dipakai pada Hari Raya.

Akhir sekali, sebagai seorang bapa, saya akan memastikan bahawa semua anggota keluarga saya siap pada Hari Raya. Saya akan memastikan bahawa semua anak-anak saya mandi dan bersiap sedia pada waktu supaya kita tidak lewat ke rumah saudara mara. Saya juga akan memastikan kami sekeluarga tahu jadual perjalanan biar tidak tertinggal waktu.

Kesimpulannya, Aidilfitri perlu banyak persiapan dan banyak juga cubaannya. Namun, sebagai seorang bapa, inilah memori-memori yang akan membuat kita tersenyum pada suatu masa nanti. Walau apapun, selagi kita dapat menyambut Aidilfitri sekeluarga, itulah kesyukuran yang tidak dapat titandingi.

Mohamad Zahrin Bin Abdullah

Pengerusi Pendidikan Bapa Sepanjang Hayat