Antara peranan terpenting seorang lelaki ialah kita dipertanggungjawabkan untuk mengetuai keluarga sebagai seorang suami dan juga sebagai seorang bapa. Ini disebut jelas dalam hadis ini: “Dari Ibn Umar r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda : setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannnya. Seorang kepala negara adalah pemimpion atas rakyatnya dan akan diminta pertanggungjawaban perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin atas anggota keluarganya dan akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin atas rumah tangga dan anak-anaknya dan akan ditanya perihal tanggung jawabnya. Seorang pembantu/pekerja rumah tangga adalah bertugas memelihara barang milik majikannya dan akan ditanya atas pertanggungjawabannya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya (diminta pertanggungan jawab) darihal hal yang dipimpinnya” (HR Bukhari)
Kita perlu sentiasa muhasabah diri untuk memastikan kita dapat laksanakan dengan baik peranan kita sebagai seorang bapa bagi anak-anak yang Allah pertanggungjawabkan terhadap kita semua. Anak kita, baik lelaki mahupun perempuan, merupakan amanah yang patut kita kendalikan denga memastikan keperluan mereka dipenuhi, pendidikan mereka diutamakan serta perkembangan mereka untuk menjadi insan yang baik dapat diusahakan dengan penuh kesungguhan dan tidak diabaikan. Pada zaman yang agak mencabar ini, kita terdengar kisah-kisah yang sangat merisaukan berkenaan sebahagian kaum bapa yang mengabaikan tanggungjawab mereka dan tidak pedulikan keperluan anak mereka. Ada pula yang hilang pertimbangan akal dengan mendera anak mereka, berkelakuan sumbang terhadap mereka dan ada juga yang dengan zalimnya membunuh anak. Disebabkan isu-isu sebegini, peranan bapa semakin diperkecilkan.

Islam menilai tinggi peranan Bapa dalam pembangunan keluarga dan masyarakat yang ideal. Disebabkan itu kita sebagai golongan lelaki, dengan kemampuan tertentu yang Allah kurniakan kepada kita, dilantik untuk menjadi ketua keluarga serta disuruh untuk berperanan dalam memastikan perkembangan diri anak-anak kita terpandu dengan baik. Dalam masa yang sama, selain daripada bersandar kepada kekuatan fizikal dan keluasan berfikir yang kita punyai, kita perlu dipandu dengan nilai dan aturan Islam untuk menjalankan amanah ini. Secara ringkasnya, Islam telah menetapkan beberapa ciri tanggungjawab kebapaan yang perlu kita akui kepentingannya dan laksanakan dengan sebaik mungkin:
1) Seorang bapa perlu sabar dan ikhlas dalam mencari rezeki dan memberi nafkah buat isteri dan anaknya. Firman Allah s.w.t dalam Surah At Talaq ayat 7:
“Hendaklah orang yang mempunyai keluasan memberi nafkah menurut kemampuannya, dan orang yang terbatas rezekinya, hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak membebani seseorang melainkan (sesuai) dengan apa yang diberikan Allah kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan setelah kesempitan.”
Maka sebagai seorang bapa kita perlu sedar bahawa memenuhi keperluan keluarga adalah tanggungjawab kita dan bukan isteri kita, walaupun dia juga keluar bekerja. Kita tidak boleh abaikan tanggungjawab ini malah kita perlu utamakan dan laksanakan dengan penuh kesungguhan, kesabaran dan keikhlasan.
2) Seorang bapa merupakan pendidik dan pembimbing utama bagi anak-anak. Pendidikan mereka termasuk didikan aqidah, ibadah dan akhlak perlu diterajui oleh bapa mereka dengan bantuan ibu dan berdasarkan pegangan serta nilai yang dipegang oleh bapa. Ini sepertimana yang dilaksanakan oleh Luqman dalam usahanya membentuk aqidah dan pegangan dasar anaknya seperti yang tertera di dalam Al-Quran Surah Luqman ayat 13: “Dan (ingatlah) ketika Lukman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, “Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.”
3) Seorang bapa perlu berakhlak mulia dan menjadi contoh ikutan buat anaknya. Sepertimana Rasulullah s.a.w diutuskan menjadi contoh akhlak mulia buat umatnya maka kita golonga bapa perlu menjadi contoh akhlak mulia buat anak kita. Tidak mungkin kita dapat jalankan proses pendidikan dengan baik bilamana kita sendiri terlalu kasar, tidak menghormati orang lain, menggunakan bahasa yang kesat serta tidak konsisten dengan kepercayaan dan nilai yang kita pegang. Secara ringkasnya, untuk menghasilkan anak yang baik maka golongan bapa perlu sentiasa memperbaiki diri dan laksanakan kebaikan yang dipelajarinya untuk menjadi contoh yang baik buat anak-anak.
4) Seorang bapa perlu bergaul dan melayani anak-anak dengan penuh kasih sayang. Tanpa kasih sayang anak kita akan terpinggir jauh dari kita dan kita akan hilang komunikasi dengannya. Bilamana komunikasi kita dengannya hilang dan terganggung, maka informasi didikan yang perlu kita sampaikan kepadanya akan terputus dan lahirlah berbagai konflik yang bakal merosakkan hubungan kita dengannya. Kita perlu pastikan anak kita merasakan dirinya dikasihi dan disayangi oleh kita. Marilah kita mencontohi Nabi s.a.w dalam menyayangi anak beliau sepertimana dikhabarkan oleh Anas Bin Malik r.a: “Saya tidak pernah melihat orang yang lebih berbelas kasih terhadap anak-anak selain Rasulullah SAW. Putranya, Ibrahim, sedang dirawat di perbukitan sekitar Madinah. Dia akan pergi ke sana dan kami akan pergi bersamanya dan dia akan memasuki rumah, menjemput putranya, dan menciumnya, lalu kembali.” (HR Muslim)
Sebagai kesimpulan, marilah kita hayati ciri2 kebapaan yang diajarkan oleh Islam dengan penuh kesempurnaan. Hendaklah kita memastikan nafkah dan keperluan anak kita terjaga dan kita jalankannya dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Hendaklah kita bertanggungjawab dalam mengetuai proses didikan anak-anak kita baik dari segi didikan aqidah, ibadah dan akhlak. Seterusnya, kita perlu memastikan diri kita dapat menjadi contoh yang terbaik buat anak-anak kita. Dan yang terakhir, interaksi kita dengan anak-anak kita perlu diusahakan dengan penuh kasih sayang, baik dari segi pertuturan, perbuatan dan lebih-lebih lagi perasaan.
Institusi kebapaan adalah sangat penting untuk kita melahirkan para pemimpin masa hadapan yang baik, iaitu insan yang bertaqwa dan berkemampuan untuk mengetuai umat manusia dalam mencari solusi bagi segala macam permasalahan yang dihadapi. Maka sebagai bapa yang mengetuai keluarga pada hari ini, melahirkan pemimpin hari esok perlu menjadi keutamaan kita. Untuk itu, kita perlu terus menjadi bapa yang bertanggungjawab dalam pembentukan anak-anak dan sentiasa mempunyai interaksi yang baik dan penuh kasih sayang dengan mereka.