Antara perkara yang saya selalu nantikan dahulu waktu kecil bila datang Hari Raya ialah makan ayam. Ayam adalah makanan setahun sekali saya sekeluarga. Kami datang dari keluarga yang serba kekurangan, tidak mampu membeli ayam sebagai makanan harian atau mingguan. Itu pun, kami beli anak-anak ayam lebih awal, yang lebih murah membelinya, dan termampu. Saya ingat membelinya di kedai di Lavender Street. Kami tinggal di Beach Road dan membesar di Masjid Hajjah Fatimah. Kami bela ayam tadi hingga besar dan siap untuk disembelih untuk Hari Raya.
Sehari sebelum Hari Raya, saya akan bersama ayah dan Tok Imam masjid tempat saya membesar, menyembelih ayam. Antara kerja saya nanti ialah membersihkan ayam tadi. Kopek bulunya. Bersihkan dagingnya. Kemudian berikan kepada ibu.
Biarpun ayam hanya merupakan makanan setahun sekali, ibu saya terkenal dengan masakan ayamnya. Saudara mara akan datang ke rumah, tanpa segan silu, mengaku ingin makan ayam masakan ibu saya. Saya pun tidak tahu di mana-mana ada jual masakan ayam seperti masakan ibu saya ini. Tiada nama glamor untuk masakan ini. Kami hanya panggil Ayam Raya Cik Tom (Kalthom nama ibu saya).
Saya dapat melihat bagaimana Mak masak dengan penuh kasih sayang, bersungguh-sungguh, dengan tungkus lumus menyiapkan Ayam Raya ini. Hanya setahun sekali disiapkan. Maka, perlu lah buat yang terbaik.
Namun, tulisan ini bukan mengenai ayam Raya. Ia mengenai insan-insan mulia yang cuba memberikan terbaik, walaupun dengan segala kekurangan yang ada. Walaupun setahun sekali, mereka tetap memberikan terbaik. Ini adalah kisah kedua ibubapa yang mendidik prinsip dan nilai-nilai kehidupan kepada anak-anak mereka, dan juga sesiapa yang berinteraksi dengan mereka.
Kekurangan kebendaan tidak menghalang ayah untuk usaha berikan terbaik. Mencari penyelesaian kreatif kepada cabaran keterbatasan. Membeli anak ayam yang termampu. Membela ayam di suasana kampung semula jadi. Kemudian ia menjadi makanan spesial Hari Raya adalah cerminan nilai “bersungguh-sungguh” ayah saya. Ini saya lihat tidak hanya kepada membuat persiapan Hari Raya. Tetapi dalam banyak lagi aspek kehidupan.

Ibu saya seorang yang prihatin. Beliau ingin memberi terbaik kepada semua. Anak-anaknya bukan hanya kami, anak darah daging beliau. Tetapi ratusan anak-anak muridnya, dan saudara-mara. Menyiapkan Ayam Raya Cik Tom tidak mudah. Saya menyaksikan proses memasaknya. Saya pasti kita tidak akan mahu menyiapkannya sebagai sajian biasa, mingguan atau bulanan. Waktu Raya, beliau tidak hanya menyiapkan sajian spesial ini. Beliau menjahit sendiri baju-baju Raya untuk anak-anaknya. Beliau tidak mampu membelikan baju Raya baru setiap tahun. Saya masih teringat kadang-kadang tertidur di kaki beliau yang sedang menekan mesin jahit tanpa elektrik kami.
Amalan-amalan ini mungkin dilihat sebagai rutin tahunan atau hari-hari biasa sahaja. Tetapi, semua ini mencerminkan prinsip dan nilai kehidupan. Anak-anak mungkin tidak dapat melihat atau memahami prinsip dan nilai ini. Tetapi yakin lah, bila kita konsisten dalam melaksanakan prinsip dan nilai ini, anak-anak akan memahaminya bila dewasa kelak. Ibubapa sedang “memasak” dan “menjahit” kehidupan dan masa depan anak-anak. Amalan tahunan Hari Raya bukan hanya rutin tahunan, tetapi penjelmaan kepada prinsip dan nilai. Inilah yang harus ditunjukkan dan dibentuk oleh ibubapa. Maka itu, kita ibubapa perlu jelas “kenapa kita lakukan apa yang kita lakukan,” dan tidak hanya melakukan sesuatu sebagai rutin harian, mingguan, bulanan atau tahunan.
Kita perlu selalu sedar (conscious) dan mengasah jiwa yang sedar (mindfulness). Kehidupan adalah medan dan ladang membangun kesedaran ini, menyemai nilai-nilai positif, dan selalu peka akan tujuan dan prinsip amalan-amalan kita. Dengan itu, segala amalan kita mempunyai prinsip dan tujuan, dan bukan hanya ritual bersifat mekanikal.
Ramadan adalah satu medan dan ladang ini. Kini, proses menyemai dan membaja telah berlalu. Menuai hasilnya bukan hanya pada Hari Raya. Hasilnya akan terlihat jangka panjang pada kehidupan kita secara peribadi, dan pada keluarga kita. Nilai apa yang kita semai dan baja? Tuaian bagaimana yang kita inginkan? Sepanjang perjalanan kehidupan kita dan anak kita akan terdapat ujian dan krisis, badai dan taufan mendatang. Tetapi ini semua tidak akan mencabut pokok tanaman kita dari akarnya (prinsip dan sistem nilainya). Pokok tadi dengan akar yang menunjang dalam, akan terus teguh, menumbuhkan hasil yang mekar berpanjangan. Tetapi pokok ini perlu terus dibaja, dan akarnya dipelihara.
Kini, peranan memasak Ayam Raya Cik Tom jatuh ke tangan isteri saya. Ibu saya menurunkan berbagai resipi spesial beliau ke anak-anak perempuan dan menantu perempuannya. Entah bagaimana, resipi Ayam Raya Cik Tom turun ke isteri saya. Kini, saya terus menyaksikan proses memasak Ayam Raya spesial ini. Cuma kini, saya tidak beli anak-anak ayam, membela dan kemudian menyembelihnya. Saya hanya beli di pasar raya, siap di potong.
19 Apr 2023