Teringat saya sambutan lebaran buat kali pertama sebagai seorang bapa hampir 26 tahun
dahulu. Kebanggaan yang tak terhingga apabila saya dan isteri saya membawa si sulong
berjalan Raya untuk memperkenalkan nya kepada sanak saudara dan teman handai. Tahun
depannya, begitu juga apabila kami menerima tambahan yang kedua dalam keluarga kami.
Pada tahun-tahun seterusnya, sambutan Syawal di rumah kami semakin meriah dengan
berbagai persiapan dan yang paling menggairahkan sekali adalah ketika kami pecah otak
memilih baju ala seragam seakan-akan kami ni sebahagian dari kumpulan boria.
Maklumlah… sebagai ibubapa muda, kami begitu teruja dan penuh semangat pada setiap
perayaan atau kegiatan bersama yang kami lakukan sekeluarga, lebih-lebih lagi pada masa
awal mereka sehingga mereka berusia dua-tiga tahun, saya bertugas di rantauan dan hanya
pulang ke Singapura pada hujung minggu. Musim Raya lah yang sangat-sangat kami hargai
kerana kami dapat bersama sekeluarga dengan lebih lama; kadang-kadang hingga dua
minggu panjang nya.
Hidup ni memang penuh kejutan. Pejam-celik, tujuh tahun selepas saya dan isteri saya
menimang anak teruna kami yang kedua, kami dikurniakan dengan satu lagi zuriat, tetapi kali
ini yang ketiga ni adalah seorang puteri. Nak cakap kelam kabut tu, begitulah juganya.
Selama lebih-kurang lapan tahun kami mendidik dua orang putera, Tiba-Tbia kedua-dua hiro
di rumah ni tadi sudah menjadi abang kepada seorang adik perempuan. Tonggang-langgang
kami semua dalam membuat penyesuaian kerana ternyata membesarkan anak lelaki dan
anak perempuan amat berbeza sekali. Yang menggentingkan lagi, di tahun itu 1 Syawal jatuh
pada beberapa bulan sahaja selepas si bongsu dilahirkan. Persiapan menyambut Lebaran
tahun-tahun sebelumnya sudah menjadi kebiasaan tetapi pada tahun itu, ia menjadi satu
“pengembaraan” kerana ia merupakan pengalaman yang tidak pernah kami jalani; ia itu
dengan bayi puteri!


Kini mereka sudah dewasa dan sibuk mengejar impian masing-masing. Sejak kebelakangan
ini sambutan Raya kami tidak sama dengan semasa mereka sedang membesar.
Sudah 2 tahun (dan ini adalah tahun ke-tiga) anak sulong saya tidak bersama kami sambut
Hari Raya. Terdapat perubahan juga dengan cara kami kunjung-mengunjung. Kalau dulu kami
pergi berjalan Raya boleh dikatakan setiap rumah saudara-mara dengan jadual yang teramat
ketat, singahan di setiap rumah yang tidak melebihi dari 20 minit, dan seolah-olah kita
semua berbalas-balas kunjungan. Sekarang, kami hanya pergi menziarahi ahli keluarga dan
sahabat yang terdekat sahaja dan disetiap rumah kami duduk bersembang beberapa jam
lamanya untuk bergaul rapat bagi mengeratkan lagi silatul rahmi. Usaha berganda juga dapat
dielakan kerana kita tidak pergi kerumah mereka yang telah datang ke rumah kita pada
tahun yang sama, tetapi mengambil giliran untuk menjadi tuan rumah. Perubahan yang kami
lakukan secara sengaja ini telah meningkatkan lagi mutu masa yang kami luangkan bersama
dan perhubungan bertambah mesra diantara keluarga.
Sebagai orangtua, satu kepastian adalah kita perlu menyesuaikan diri kita dengan peredaran
zaman yang membentuk budaya baru. Ini adalah kerana anak-anak kita dari generasi yang
berbeza dengan kita dan perkara-perkara yang dipandang sesuai atau yang dianggap tidak
boleh diterima akan menjadi punca ketegangan sekiranya jurang pemikiran tidak dapat
dirapatkan.
Walaupun cara kami sekeluarga menyambut Syawal kini tidak sama kalau dibandingkan
dengan zaman kami keluarga muda dulu, pemalarnya tetap tidak berubah ia itu
mengukuhkan lagi pertalian dengan mereka yang kita hargai dan penting dalam hidup kita.
Ini adalah prinsip panduan yang dihayati oleh keluarga saya yang saya yakin katakan akan tak
lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.