Saya dilahirkan dalam keluarga susah -tujuh orang adik beradik dengan ayah bekerja sebagai pemandu dan ibu sebagai suri rumah menjaga dan membesarkan anak-anaknya. Saya kira rata-rata begitulah juga keadaannya bagi kebanyakan keluarga Melayu di Singapura yang lahir dalam era 60-an dan 70-an. Ayah dan ibu saya, sama seperti kebanyakan orang dahulu, tidak berpelajaran tinggi, hanya setakat pendidikan madrasah atau sekolah rendah, itupun tidak tamat pengajian. Namun suatu keistimewaan tentang orang tua kami ialah mereka sedar tentang pentingnya nilai pendidikan walaupun mereka sendiri kurang berpendidikan. Juga, mereka menekankan perlunya memelihara hubungan mesra di kalangan adik-beradik dan memupuk akhlak peribadi yang baik di kalangan anak-anaknya. Satu lagi, walaupun sangat cermat dan berjimat dalam perbelanjaan harian, arwah bapa saya tidak pernah lokek dalam hal-hal yang dianggap penting seperti membeli buku pelajaran dan menjamu tetamu makan di rumah. Sesiapa sahaja yang datang ke rumah, mesti disuruh makan bersama -baik sarapan, makan tengahari atau makan malam walaupun sederhana sahaja. Nilai-nilai itu jugalah yang mungkin tidak saya sedari, mempengaruhi dan membentuk sebahagian nilai hidup saya sehingga hari ini. Justeru, apabila Muhammad – satu-satunya anak kami hadir dalam kehidupan keluarga saya sendiri, nilai-nilai asas itu juga yang kami – saya dan isteri – cuba terapkan untuk membentuk akhlak peribadinya.

Misalnya, semasa kecilnya, pada setiap ulang tahun hari kelahiran Muhammad, kami rai’kan bersama anak-anak yatim dari umah anak yatim dengan hiburan dan jamuan di restoran. Muhammad akan bermain, bergaul mesra dan menjamu selera bersama-sama mereka. Begitu juga, apabila kami berada di luar rumah – sama ada makan di luar atau melakukan kegiatan lain, sebaik sahaja kami melihat pekerja pembersih jalan raya, orang tua sebatang kara atau peminta dan seumpamanya, kami akan memberi Muhammad sedikit wang untuk diberikan sendiri bagi menggembirakan golongan tersebut. Alhamdulillah, tabiat ini kini menjadi sebahagian darah dagingnya. Maksudnya, Muhammad jika terpandang sahaja atau bersua dengan golongan tersebut, dia sendiri akan meminta ibu-bapanya wang atau menggunakan wangnya sendiri untuk diberikan pada golongan tersebut atau dibelikan makanan dan minuman buat mereka – suatu nilai yang diamalkan oleh arwah bapa saya yang kini turun kepada cucunya. Muhammad gembira melihat orang lain gembira walaupun pemberiannya tidak seberapa. Namun pada hemat saya, penerapan nilai-nilai positif yang praktikal seperti ini akan lebih berkesan lagi jika kita berusaha untuk meluangkan banyak masa bersama anak atau anak-anak kita. Justeru, baik waktu di rumah, pada hujung minggu dan semasa musim cuti sekolah – pendek kata, jika ke mana-mana sekalipun baik ke majlis keramaian, ke masjid, ke konsert atau masa beriadah, kami akan menyertainya bersama. Kegiatan bersama ini dapat mengukuhkan lagi jalinan ikatan antara anak dengan orang tuanya. Semakin kukuh ikatan itu maka semakin tinggi jalinan kepercayaan antara satu sama lain.
segala kegiatan buat bersama bermalam di padang pasir seperti arwah datuknya, Muhammad gemar beri makanan dan minumam pada golongan memerlukan
Apabila Muhammad semakin remaja, hubungan kami lebih mirip seperti kawan rapat. Dengan itu, apa juga masalah dan isu yang dihadapinya, mudah baginya membincangkan secara terbuka dengan ibu-bapanya dan mendapatkan pandangan kami bagi menghuraikan apa jua isu yang dia hadapi. Begitu juga, kami akan memberi nasihat dan panduan yang kami fikirkan baik dan relevan buat anak kami itu. Ini termasuklah perbincangan isu-isu mengenai ehwal semasa, agama atau pergaulan remaja. Sejak kami berpindah ke Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), lebih tiga tahun lalu, usia Muhammad semakin meningkat remaja. Kami sedar usia remaja seperti ini menghadapi pelbagai cabaran termasuk pergaulan remaja. Dengan pengaruh media
sosial yang berleluasa, mudah bagi seseorang remaja itu terdedah dan terpengaruh dengan pelbagai cabaran dan anasir-anasir negatif. Ia boleh membahayakan jika tidak diberi panduan yang betul. Justeru, saya memutuskan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama anak saya itu dengan melakukan pekerjaan bebas (freelance). Masa yang lebih fleksibel ini membolehkan saya menghantar anak ke sekolah di waktu pagi dengan menaiki kereta dan mengambilnya pulang ke rumah pada waktu petang. Dalam perjalanan pergi ke sekolah, saya suka menceritakan kisah-kisah yang dapat membangkitkan motivasi dan semangatnya untuk belajar termasuklah menceritakan pengalaman masa lalu saya bersusah payah belajar sehingga tamat lulus pengajian di universiti.
Apabila pulang dari sekolah, saya akan memerhatikan “mood” anak saya itu. Jika ada sesuatu yang tidak kena, maka saya tidak terus pulang ke rumah. Saya akan membawanya ke kafe atau warung minuman untuk berehat sebentar dan mula berbincang dengannya sebagai teman. Saya dapati, dengan cara ini mudah bagi Muhammad meluahkan apa jua isu atau masalah yang dihadapinya dan saya cuba memberi saranan atau memikirkan bersama bagaimana mengatasinya. Oleh kerana hari Jumaat adalah cuti umum di UAE, saya dan Muhammad berpeluang untuk solat bersama di masjid-masjid yang berlainan pada setiap Jumaat. Memandangkan terdapat banyak masjid yang indah tersergam di sini, kami akan bertukar masjid setiap minggu untuk merasakan sendiri kerencaman setiap masjid. Begitu juga di rumah, kami sekeluarga akan solat berjemaah dan jika ada kelapangan akan bersama ke masjid berdekatan. Sepanjang Ramadan lalu, Muhammad kami latih di rumah untuk menjadi imam keluarga bagi solat tarawih. Kami bertiga (suami, isteri dan anak) sememangnya “jenis” yang tidak boleh duduk diam dan mengamalkan gaya hidup yang aktif. Setiap hujung minggu kami akan beriadah bersama – biasanya mengembara (road trip) ke beberapa buah gunung dan membuat pendakian, menyusuri wadi atau lembah-lembah sungai yang kering semasa musim panas, berkhemah dan bermalam di padang pasir, menaiki “jeep” lasak merentasi bukit-bukit berpasir, berkelah di pantai yang jernih airnya – sama ada di laut atau di tasik. Kami bertuah kerana negara yang kami diami menyediakan pelbagai peluang alam semula jadi yang menarik untuk diterokai. Namun apa yang lebih penting ialah kami berusaha untuk memanfaatkan peluang-peluang tersebut – mengembara dan meneroka sambil bersenda, berbincang isu semasa, soal keluarga, hal sekolah, dan yang paling kami gemari – menerokai pelbagai jenis makanan masyarakat antarabangsa di sini. Tanpa kami sedari ikatan jalinan hubungan antara anak dan ayah dan ibunya bertambah erat dan mesra menerusi kegiatan-kegiatan bersama ini. Ini membolehkan kami memahami antara satu sama lain lebih baik lagi – memahami kelebihan mahupun
kekurangan masing-masing, menerima hakikat dan cuba memperbaikinya agar mencapai yang lebih baik lagi.
mengembara (road trip) ke gunung latih di rumah untuk menjadi imam berbincang isu semasa, sambil menerokai pelbagai jenis makanan masyarakat antarabangsa
.
Good post. I learn something new and challenging on blogs I stumbleupon on a daily basis. Its always useful to read content from other writers and use a little something from their sites.