Anayatullah Penwar – Seorang Ayah Contoh

Dari Archive Ain Society

Haji Anayatullah Penwar ialah seorang ayah kepada 9 orang anak, dan datuk kepada 38 orang cucu. Dia juga mempunyai seramai 5 orang cicit. Isterinya, almarhumah Shamin Akhtar telah meninggal dunia sekitar tiga tahun lalu.t

Ayah, bapa saudara dan datuk beliau telah berhijrah ke Singapura dari Pakistan sekitar tahun 1940an. Beliau dan kesemua adik beradiknya dibesarkan di Singapura.

Cabaran yang dihadapi

Pelbagai cabaran telah dihadapi Haji Anayatullah semasa beliau membesarkan anak-anaknya. Bukan sahaja beliau merupakan pencari nafkah untuk isteri dan anak-anaknya, tetapi beliau juga menjaga kebajikan 11 orang adik-beradik dan anak-anak saudaranya. Mereka sekeluarga seramai 30 orang, menetap di sebuah rumah yang terletak di Serangoon Road.

Ibu kandungnya telah meninggal dunia semasa beliau kecil lagi, dan bapanya menghidap penyakit Alzheimer. Oleh itu, beliau lah yang banyak membantu bapanya menyara kehidupan seluruh ahli keluarga mereka.

Untuk memastikan keperluan ahli keluarga yang dibawah tanggungannya mencukupi, beliau terpaksa melakukan dua pekerjaan. Pada siang hari, beliau memberikan khidmat homeopati di kedainya yang terletak di Serangoon Road, dan pada malam hari pula, beliau bekerja sebagai pembantu di sebuah syarikat menjual logam piuter.

Semasa berlakunya banjir di Singapura pada tahun 1969, kedainya terpaksa ditutup dan ini telah menjejas teruk pendapatannya. Cabaran yang sama dihadapi beliau semasa Hotel New World runtuh pada tahun 1986 dan beberapa tahun kemudian, suatu kebakaran juga telah berlaku di kedainya.

Pencapaian anak-anak

Empat dari sembilan anaknya bertugas sebagai guru. Tiga yang lain mempunyai pekerjaan yang baik sebagai pegawai di beberapa syarikat swasta.

Meskipun mereka dibesarkan dengan kesempitan kewangan, bapa mereka memastikan setiap dari mereka mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya sijil peringkat ‘O’. 

Tujuh orang dari mereka juga telah menunaikan ibadah Haji.

Harapan seorang ayah

“Harapan saya adalah supaya anak-anak mempunyai pendidikan yang lebih baik dari saya dan mereka berdikari dan menyumbang kembali kepada masyarakat”